KURSUS PENYEMBELIHAN
TARIKH  : 2/11/2010
ANJURAN : PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

Alhamdulillah kursus penyembelihan untuk pelajar lepasan PMR 2010 telah berjaya dilaksanakan dengan meriah. Untuk makluman, sebanyak 40 ekor ayam dan 1 ekor kambing telah berjaya disembelih. Hasil sembelihan telah dimasak secara rewang dan dijamu kepada semua warga MIA.Terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak.  













Juara tulis Jawi, 'Lost Story'


KUALA LUMPUR: Seramai 10,000 ahli Kelab TaHa berusia tujuh hingga 15 tahun menyertai Peraduan Teka dan Tulis Jawi serta 'Lost Story' anjuran Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dengan kerjasama Berita Harian Sdn Bhd (BHSB).


Peraduan Teka dan Tulis Jawi terbuka kepada pelajar sekolah menengah mengkehendaki mereka menyusun kembali perkataan yang diberikan dan peraduan ‘Lost Story’ pula membabitkan penghasilan buku cerita pendek bagi murid sekolah rendah. 

Pengurus Kanan Jabatan Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Noor Azmima Ismail berkata, sambutan yang diterima baik dan peserta menunjukkan iltizam tinggi bagi menghasilkan karya positif serta menarik.

“Biarpun sukar menentukan pemenang tetapi kriteria ketepatan ejaan dan kreativiti menjadi keutamaan. Setiap individu mempunyai idea dan cara ia dihasilkan membezakan setiap karya, ” katanya pada sesi pemilihan pemenang di Balai Berita, baru-baru ini.

Hadir sama wakil Tabung Haji, Noraini Salleh; Pengarang Eksekutif BHSB (Rencana), Zainor Said dan Pengarang Pendidikan BHSB, Muhd Yusuf Abu Bakar.

Pemenang peraduan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 untuk tempat pertama, RM350 (kedua) dan RM250 (ketiga). 

Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu mengungguli kategori peraduan ‘Lost Story’, Nor Amirah Solehah Ruzaimi, 8, nombor ahli 05070901651; kedua, Arif Aidil Suinddi (05070901005) dan tempat ketiga, Saadatun Hana Faisal (05030900006) dari SK Bagan Pasir, Perak.

Peraduan Teka dan Tulis Jawi, pemenang pertama dan kedua, Maizatul Akmar Adlan (05070901082) dan Zulhelmi Dahari (05070901077) dari sekolah sama, Maahad Islahiah Ad-Dinniah, Perak serta pemenang ketiga, Nor Jauhara Gufran (07011004333) dari SMK Puteri Ampang, Kuala Lumpur.

Sepuluh sekolah menghantar penyertaan terbanyak menerima hadiah sagu hati bernilai RM1,000 masing-masing SMK Bandar Sungai Buaya, Rawang; SMK Jugra, Selangor; SMK Sains Hulu Selangor, SMK Jenjarom dan Maahad Islahiah Ad-Dinniah, Perak.
 

Bagi kategori sekolah rendah, SK Kuala Kubu Bharu, SK Kampung Cheras Baru, SK Bukit Jelutong, Shah Alam, SK Taman Permata Hulu Klang dan SK Sri Integrasi Al-Amin, Selangor. 


**Kami warga MIA mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar yang telah berjaya  membawa pulang hadiah tempat pertama dan kedua dalam peraduan teka & tulis jawi. Tahniah juga buat Cikgu Hajah Khalijah kerana tidak jemu memberikan tunjuk ajar kepada semua pelajar yang menyertai peraduan ini. Alhamdulillah.